top of page

Feature Article

Written on 31th May 2024

MASJID AL-BUSYRA JADI TARIKAN PENGUNJUNG DENGAN KEUNIKANNYA
72853c98-1324-4c2f-b7c8-cf783f9204e9_edited.jpg

Gambar menunjukkan ruang taman permainan mini yang terletak dalam masjid. Gambar oleh Nuril Izni Zakaria.

Keunikan Masjid Al Busyra telah menjadi tarikan pengunjung dengan pelbagai fasiliti yang disediakan sehingga menjadi sebuah masjid luar bandar yang dikenali ramai. Masjid Al Busyra terletak di Merbok, Kedah mengekalkan konsep ‘one stop centre’ sebagai tempat persinggahan kepada orang ramai dengan pelbagai kemudahan yang disediakan di masjid tersebut. 

​

Melalui aplikasi TikTok dan Instagram, Masjid Al Busyra kian menjadi perhatian ramai dengan pelbagai fasiliti yang ditawarkan seawal pembinaan masjid tersebut.

 

Hal ini demikian kerana Imam Masjid Al Busyra, Ustaz Firdaus Farabib aktif dalam menggunakan media sosial untuk sentiasa mengemaskini tentang masjid tersebut menyebabkan sebarang video berkenaan Masjid Al Busyra akan menjadi viral.

​

Beliau menyatakan bahawa beliau menggunakan semua sumbangan yang diterima dari orang awam untuk sentiasa menaiktaraf masjid tersebut tanpa membazirkan sedikitpun sumbangan yang telah diberikan.

 

Hal ini demikian kerana beliau percaya bahawa beliau perlu bertanggungjawab dalam setiap penambahbaikan masjid tersebut untuk menjamin keselesaan para pengunjung yang ingin menunaikan ibadah di masjid. 

​

“Saya bersama pihak pengurusan akan sentiasa membantu dalam menyediakan fasiliti yang terbaik supaya sumbangan yang diterima dari orang awam tidak disimpan begitu sahaja. Saya turut mempertimbangkan cadangan dan komen yang diberikan oleh pengguna laman sosial berkenaan Masjid Al Busyra,” tambah beliau lagi. 

​

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Antara fasiliti yang disediakan ialah ruang taman permainan yang disediakan untuk kanak-kanak yang datang ke masjid tersebut. Bahkan juga, turut terdapat kafeteria, restoran nasi Arab, kandang kuda dan gelanggang silat di masjid itu. 

​

Salah seorang pengunjung, Alif Najmi, 32 tahun, menyatakan bahawa kemudahan seperti taman permainan mini yang disediakan oleh pihak masjid sangat memudahkannya untuk menunaikan kewajipan solat tanpa perlu risau akan keselamatan anaknya, Muhammad Hadif, 6 tahun, memandangkan beliau seringkali membawa anaknya ke masjid.

​

“Dengan pengawasan yang disediakan oleh pihak masjid semasa kanak-kanak bermain di taman permainan tersebut telah membuatkan saya lebih tenang dan yakin untuk menunaikan ibadah,” tambah Hadif lagi.

​

Beliau juga berharap agar pihak masjid terus mengekalkan petugas masjid yang ditugaskan untuk mengawasi kanak-kanak yang bebas bermain di taman permainan itu.

 

Hal ini demikian kerana beliau turut risau dengan kes penculikan kanak-kanak yang mungkin boleh berlaku di mana-mana sahaja.

​

Muhammad Afif Rusli, 21 tahun, yang berasal dari Kelantan menyatakan bahawa ini adalah kali pertama beliau mengunjungi Masjid Al Busyra. Beliau agak terkejut kerana melihatkan keunikan yang dibawa oleh masjid ini jika dibandingkan dengan masjid lain.

 

“Saya tidak pernah terbayang bahawa masjid ini mempunyai kendang kuda dan gelanggang silat. Mungkin masjid ini adalah antara masjid luar bandar yang agak unik dan berpotensi menjadi tarikan lebih ramai pengunjung pada masa akan datang,” tambah Afif lagi.

 

Beliau memberitahu ada beberapa orang pesilat yang sedang berlatih bersilat di gelanggang silat pada hari sebelumnya. Hal ini bukan sahaja boleh menjadi tarikan pengunjung luar, malah boleh menjadi tempat menimba ilmu pengetahuan.

 

“Saya dapat lihat terdapat banyak gerai makanan yang dibuka di sini sehingga ia boleh menjadi salah satu peluang pekerjaan kepada anak muda di sekitar sini,” katanya ketika ditemubual di sebuah Al Busyra Bistro di perkarangan masjid tersebut. 

 

Dari media sosial seperti TikTok dan Instagram, rata-rata pengguna memuji tindakan pihak pengurusan yang sentiasa menitikberatkan dan mempertimbangkan cadangan yang diusulkan walaupun hanya dari ruangan komen di media sosial. 

​

Antara pengubahsuaian yang dilakukan oleh pihak pengurusan masjid terhadap sinki dan tempat mengambil wuduk. Gambar oleh Nuril Izni Zakaria.

Muhammad Afif ketika berkunjung ke kandang kuda di Masjid Al Busyra. Gambar oleh Nuril Izni Zakaria.

Text: Nuril Izni Zakaria/Photo: Nuril Izni Zakaria

LOGO.png
logo-usm-baru-transparent-removebg-preview.png

C10, Balai Media, School of Communication, 10, Lengkok Sastera, 11800 Gelugor, Pulau Pinang

04-6533600

Stay informed, with us 

Thanks for subscribing!

bottom of page