BERITA KAMPUS



Event
Written on 8th April 2024
PUSAT ISLAM USM AGIHKAN JUADAH SEPANJANG BULAN RAMADHAN





Gambar menunjukkan suasana program pemberian makanan dan minuman oleh sukarelawan Pusat Islam USM kepada orang ramai di Masjid Al Malik Khalid USM. GAMBAR Ahmad Imran Mohammad Roslani.
KAMPUS INDUK, 8 April- Pusat Islam USM mengadakan program pemberian makanan dan minuman kepada komuniti USM sepanjang bulan Ramadhan 1445H iaitu pada 12 Mac sehingga 9 April 2024 di Masjid Al Malik Khalid USM.
​
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam USM, Muhammad Yazid Mat Johari berkata program iftar ini merupakan pengurusan di dibawah jawatankuasa aktiviti Ramadhan 1445H peringkat USM yang diadakan sepanjang tahun sehingga kini.
​
“Program ini dilaksanakan dengan melibatkan aktiviti berbuka puasa atau iftar, moreh dan juga sahur”, kata beliau.
​
Beliau juga berkata bahawa jumlah untuk penyediaan makanan dan minuman itu bukanlah ditentukan secara rawak, tetapi ia bergantung kepada kehadiran siswa-siswi, staf dan qaryah masjid di USM.
​
“Secara anggaran, purata iftar bagi tahun ini adalah seramai 2000 orang, bagi penyediaan moreh pula sebanyak 300 orang dan sahur, kami menyediakan makanan dan minuman untuk 450 orang bagi 10 malam terakhir Ramadhan”, kata Yazid.
​
Beliau juga mengatakan bahawa program pemberian makanan dan minuman itu diberikan kepada semua orang yang hadir semasa program itu berlangsung tanpa mengira demografi penerima.
​
“Pengagihan makanan dan minuman ini adalah untuk semua orang di USM tanpa mengira agama ataupun bangsa”, katanya lagi.
​

Suasana orang ramai di khemah yang disediakan oleh Pusat Islam USM untuk berbuka puasa di Masjid Al Malik Khalid USM. GAMBAR Ahmad Imran Mohammad Roslani
Sains Matematik 2, Muhammad Izzul Hanif berkata program yang diadakan oleh Pusat Islam USM itu sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan harian, sepanjang bulan Ramadhan beliau berada di USM.
​
“Pemberian makanan ini telah banyak memudahkan urusan saya, bukan sahaja dari sudut untuk mencari hidangan apa yang hendak dimakan ketika berbuka puasa serta sahur, malah ia juga telah merendahkan kos sara hidup saya di USM”, kata Izzul.
​
Ilmu Pendidikan 2, Umi Umairah Safiah Ismail berkata, program itu bukan sekadar menjimatkan perbelanjaan harian, malah ia juga secara tidak langsung mendekatkan beliau dengan Tuhan semasa bulan Ramadhan.
​
“Perkara yang orang lain lihat mungkin hanyalah meringankan bebanan untuk menanggung kos sara hidup di USM, tetapi apa yang saya lihat ialah apabila kita datang untuk mengambil agihan yang diberikan, secara tidak sedar kita akan sertai jemaah yang lain untuk solat Maghrib, Isyak, dan juga Tarawih”, kata beliau.
​
Dianggarkan bahawa terdapat seramai 100 orang sukarelawan yang melibatkan diri dalam program itu yang terdiri daripada staf dan siswa-siswi USM bermula dari pagi sehingga petang.
​
Teks: Ahmad Imran Mohammad Roslani/ Gambar: Ahmad Imran Mohammad Roslani
Dikeluarkan pada 9 April 2024
​

