top of page
Event

Ditulis pada 1 April 2024

DERMA DARAH SEBAGAI SATU SEDEKAH DI BULAN RAMADAN
SDG3.png

Tidak ketinggalan juga staf USM yang turut serta dalam program derma darah yang dilaksanakan di Pusat Islam, USM. (Oleh Nuril Izni Zakaria)

KAMPUS INDUK, 1 April – Program derma darah di Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) telah dianjurkan pada 1 April 2024 oleh Jabatan Keselamatan USM dengan kerjasama Pusat Sejahtera USM dan Hospital Pulau Pinang. 

​

Penolong Pegawai Tadbir JK, Ikhwan Niza menyatakan bahawa program derma darah kali ini lebih istimewa dan menarik memandangkan ianya dijalankan pada waktu malam di bulan Ramadan dan terbuka kepada orang awam.

​

“Saya yakin menderma darah di bulan Ramadan boleh menjadi satu sedekah yang besar di samping ia dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa yang memerlukan bekalan darah di hospital”, tambah beliau.

​

Beliau turut menyatakan bahawa 1 April merupakan hari kedua program ini diadakan memandangkan pada hari pertama iaitu pada 14 Mac tidak mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

​

Jururawat Pusat Sejahtera USM, Nur Zahirah Saidin menyatakan pihaknya hanya menerima seramai 33 orang sahaja penderma yang layak sahaja pada tarikh 14 Mac. 

​

“Kebanyakan mereka adalah penderma dari kumpulan darah O. Hanya 2 orang penderma sahaja mempunyai kumpulan darah AB. Pihak hospital ingin mencari penderma darah AB memandangkan kuantiti stok darah AB kurang di Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pulau Pinang”, kata beliau lagi.

​

Beliau turut bersyukur kerana orang awam tidak melepaskan peluang untuk menyertai program derma darah ini. Secara tidak langsung, terdapat peningkatan terhadap jumlah penderma yang layak menderma pada hari tersebut.

​

“Saya berharap agar jumlah stok beg darah yang diterima pada hari ini akan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak hospital.

​

Hal ini kerana bukan senang untuk kita mencari penderma yang layak untuk menderma darah kerana mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum menderma”, katanya lagi.

IMG_5746.jpg

Salah seorang siswi sedang menderma darah dengan dibantu oleh petugas dari Hospital Pulau Pinang. (Oleh Nuril Izni Zakaria)

Salah seorang penderma Sri Shrutika, Sains Farmasi 2, menyatakan bahawa ini adalah pengalaman pertama beliau dalam menderma darah pada waktu malam di bulan Ramadan.

​

“Saya turut menganggap bahawa menderma darah pada bulan Ramadan sebagai salah satu cara untuk bersedekah tanpa menggunakan wang dan ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja”, tambah beliau lagi. 

​

Beliau turut mengatakan bahawa ini kali pertama beliau melihat program derma darah di USM mendapat jumlah penyertaan yang tinggi dari orang awam. 

​

“Hal ini mungkin kerana program ini dijalankan pada waktu malam dan selepas waktu umat Islam menunaikan solat di masjid. Ini merupakan peluang yang baik untuk menerima lebih banyak penderma yang layak untuk menderma memandangkan jumlah siswa-siswi tidak begitu ramai kerana tidak berada di kampus”, kata beliau.

​

Program derma darah ini berlangsung di Dewan Muzakarah Pusat Islam USM bermula pukul 9.00 malam ini terbuka kepada siswa-siswi USM dan orang awam. 

​

Teks: Nuril Izni Zakaria/Foto: Nuril Izni Zakaria 

Dikeluarkan pada 1 April 2024

​

LOGO.png
logo-usm-baru-transparent-removebg-preview.png

C10, Balai Media, School of Communication, 10, Lengkok Sastera, 11800 Gelugor, Pulau Pinang

04-6533600

Stay informed, with us 

Thanks for subscribing!

bottom of page