BERITA KAMPUS



Issue
Written on 12th April 2024
“NIKOTIN PUNCA KETAGIHAN, TIADA UBATNYA MELAINKAN BERHENTI” – DR NUR AMANI



Tangkap layar menunjukkan sebahagian siswa-siswi yang menyertai webinar “Be a quitter, not a vaper”. (Gambar oleh Nuril Izni Zakaria)
KAMPUS INDUK, 12 April – Kelab Universiti Sains Malaysia (USM) Green Lung telah melancarkan webinar “Be a quitter, not a vaper” pada 12 April. Webinar ini mengambil masa dua jam iaitu dari pukul 8.00 malam sehingga 10.00 malam.
​
Pengarah Projek, Ng En Xin menyatakan bahawa tujuan utama beliau ingin menjalankan webinar ini kerana melihat golongan belia yang salah faham dengan istilah “berhenti merokok”. Beliau yakin bahawa ramai anak muda sekarang lebih tertarik dengan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape.
​
“Hal ini tidak boleh dinafikan kerana umum mengetahui bahawa rokok elektronik amat terkenal dan dijual di mana-mana sahaja. Malahan, kita boleh melihat ramai golongan belia mengatakan bahawa mereka telah berhenti merokok namun tetap menggantung rokok elektronik di leher mereka”, tambah beliau lagi.
​
Beliau turut mengatakan bahawa beliau dan rakan yang lain berharap agar masyarakat kini diberikan pendedahan dan kesedaran yang secukupnya tentang bahaya rokok elektronik melalui webinar ini.
​

Antara paparan yang menunjukkan bagaimana kesan nikotin bertindak ke atas otak dan mempengaruhinya. (Gambar oleh Nuril Izni Zakaria)
Penceramah bagi webinar ini ialah Prof. Madya Dr Nur Amani, pensyarah dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) menyatakan bahawa masyarakat seringkali salah anggap terhadap rokok dan rokok elektronik. Beliau mengatakan bahawa rata-rata masyarakat beranggapan bahawa rokok elektronik lebih baik berbanding rokok biasa.
​
“Tidak kiralah rokok biasa atau rokok elektronik, kedua-duanya mempunyai kandungan nikotin pada paras yang tinggi. Masyarakat mengatakan bahawa dengan merokok mampu menenangkan fikiran dan stress, walhal mereka sebenarnya telah berada di tahap ketagihan. Nikotin adalah punca ketagihan, tiada ubatnya melainkan berhenti”, katanya lagi.
​
Beliau turut membuka tentang kisah tiga orang gadis yang menjadi mangsa rogol bergilir-gilir setelah mencuba perisa baru rokok elektronik di Kota Kinabalu, Sabah pada 26 April 2023. Kisah ini dijadikan contoh bahayanya pengaruh rokok elektronik kepada masyarakat.

Dr Nur Amani memaparkan keratan akhbar tentang kes jenayah rogol yang berpunca daripada rokok elektronik. (Gambar oleh Nuril Izni Zakaria)
Menurut Lee Ai Yu, Ilmu Kemanusiaan 2, menyatakan bahawa beliau yakin bahawa ramai orang di luar sana mempunyai pengetahuan tentang kemudaratan yang dibawa oleh rokok biasa mahupun rokok elektronik, namun tidak ramai orang yang mempunyai kesedaran untuk menghentikan penggunaan kedua-duanya.
​
“Jadi, bagi saya pentingnya webinar ini untuk siswa-siswi di USM kerana penceramah webinar ini bukan sahaja menceritakan keburukan rokok elektronik, namun turut menerangkan bagaimana bahan-bahan kimia yang terdapat dalam rokok tersebut diproses dan berfungsi kepada badan kita”, jelasnya lagi.
​
Seramai 223 orang termasuk penganjur menyertai webinar “Be a quitter, not a vaper”. Webinar ini bukan sahaja terbuka kepada siswa-siswi USM malahan untuk orang luar juga.
​
Teks: Nuril Izni Zakaria/Gambar: Nuril Izni Zakaria
Dikeluarkan pada 12 April 2024
​

