BERITA KAMPUS



Issue
Written on 5th April 2024
SAMBUTAN MAJLIS IFTAR PERDANA DI USM





Suasana yang cukup meriah semasa sambutan Majlis Iftar Perdana USM. (Gambar Muhammad Nizamuddin)
KAMPUS INDUK, - 1 April, 2024 - Program Sambutan Majlis Iftar Perdana di USM pada tahun ini menerima kunjungan dari Yang Terutama Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang bersama isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor.
Ketibaan Tun disambut oleh barisan pengurusan tertinggi USM iaitu Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, disertai bersama Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM serta pegawai-pegawai utama universiti.
​
Majlis ini juga diselitkan dengan penyampaian Zakat Wakalah pelajar Asnaf USM oleh USAINS Holding Sdn. Bhd yang disampaikan oleh Pengerusi USAINS Holding Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hafsah Hashim kepada Pusat Islam USM Kampus Induk dan Kampus Kesihatan yang akan diberikan kepada seramai 194 pelajar asnaf dan B40 dengan jumlah RM28,000 dan RM30,000.

Dari kiri: Mohammad Azlan selaku exco keusahawanan MPP USM, Muhammad Nazmi Hakimi selaku Yang Dipertua YDP MPP USM dan Muhamad Badrul Amin selaku exco keselamatan MPP USM. (Gambar Muhammad Nizamuddin)
Selain itu, Yayasan YARA pula menyumbangkan sejumlah RM18,000 kepada pelajar B40 Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM dan penyerahan sumbangan Korporat Siswa Upaya (E-Bike) sebanyak RM30,000 oleh Affin Islamic Bank Berhad.
​
Majlis juga turut menyaksikan penyerahan wakaf Sumber Rujukan Perpustakaan USM oleh Jawatankuasa Wakaf Strategik USM yang bernilai RM50,000 beserta dengan sumbangan sebanyak RM500,000 dari Tabung Haji sebagai sumbangan Program Iqra’ TH IPTA kepada asnaf yang memerlukan.
​
Menurut Yang Dipertua (YDP) MPP USM, Muhammad Nazmi Hakimi, beliau menyatakan bahawa majlis ini adalah majlis tahunan USM yang diselitkan dengan pelbagai sumbangan dari syarikat-syarikat korporat luar dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan.
​

Persiapan makanan bagi Majlis Iftar Perdana USM. Gambar Muhammad Nizamuddin
“Tahun ini agak istimewa kerana Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor juga turut hadir bagi majlis ini”, ujar beliau.
​
Beliau juga turut menyatakan rasa syukur kerana MPP USM, MPD serta mahasiswa-mahasiswi turut dijemput hadir bagi sama-sama meraikan bulan Ramadhan dalam majlis tahunan ini. Beliau juga berharap agar majlis seperti ini dapat memberikan impak yang positif serta mengeratkan lagi silaturahim antara mahasiswa-mahasiswi USM.
​
Teks: Muhammad Nizamuddin Zaini/Foto: Muhammad Nizamuddin Zaini
Dikeluarkan pada 1 April 2024

